- Adakah anda perlukan begitu banyak beg plastik semasa membeli belah di pasaraya?
- Adakah anda perlukan beg plastik untuk produk yang memang sudah dibungkus oleh pengilang dengan keadaan yang memang mudah dibawa tanpa plastik?
- Perlukah saya membawa beg sendiri apabila membeli belah?
Beg plastik sebenarnya adalah penyebab utama kepada masalah pencemaran alam sekitar. Statistik menunjukkan bahawa kita menggunakan semakin banyak plastik setiap tahun. Dianggarkan setiap individu menggunakan sekitar 130 plastik setiap tahun (http://news.bbc.co.uk/1/hi/uk/
Kebanyakan darinya terus memenuhi bumi dan hanya sebahagian kecil diguna semula. Kini mengurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian adalah merupakan suatu kemestian dalam menangani masalah alam sekitar yang berpunca dari beg plastik.
Berikut adalah alasan-alasan mengapa anda perlu hadkan penggunaan beg plastik:
Plastik merupakan bahan buangan utama yang memenuhi bumi. Beg plastik juga merupakan satu dari bahan utama yang menjadi sampah di tempat-tempat orang ramai seperti di pantai, jalanraya & tempat beriadah. Beg plastik sangat ringan oleh itu ia mudah dibawa oleh angin ke mana-mana lebih-lebih apabila ia masuk ke sistem perparitan, aliran sungai dan lautan malah terperangkap di celah-celah akar dan di atas pokok. Ia boleh menyekat sistem longkang dan mengakibatkan banjir.
Beg plastik diperbuat dari bahan yang tidak boleh diperbaharui iaitu petroleum. Sekali ia diambil, ia tidak akan diganti. Pembuatan beg plastik menghakis sumber semulajadi dan memusnahkan alam. Pada masa yang sama, penghasilan plastik adalah merbahaya; pencemaran dari pembuatan plastik merbahaya kepada alam semulajadi. Kebanyakan beg plastik dibuat dari polyethylene - lebih dikenal sebagai polythene - ia bertoksik dan memerlukan 1,000 tahun untuk dilupuskan secara semulajadi di darat dan 450 tahun di dalam air. (http://news.bbc.co.uk/1/hi/uk/
Memandangkan beg plastik bukan bahan biodegradasi, ia akan berterusan dihasilkan untuk masa yang lama dan akan memenuhi dunia - di darat & lautan.
Beg plastik yang tidak terhitung jumlahnya berakhir di lautan menyebabkan bahaya kepada hidupan marin. Banyak haiwan marin yang tidak mengerti apa-apa mati kerana menyangka plastik yang terapung-apung itu adalah makanan. Spesis terancam seperti penyu yang menjadikan obor-obor sebagai makanan menyangkan plastik adalah obor-obor, menelannya dan kemudian mati tercekik. Mengikut anggaran, 100,000 haiwan marin mati setiap tahun disebabkan sampah plastik yang mencemari lautan Pasifik Utara (www.algalita.org)
Haiwan darat juga tidak kurang menjadi mangsa beg plastik. Di India, dilaporkan lembu makan plastik kerana menyangka makanan dan mati tercekik kerana plastik tidak boleh dihadam. (http://news.bbc.co.uk/1/hi/uk/
Hampir tiada pasaran untuk gunasemula beg plastik. Sangat sedikit pusat kitar semula yang menerima beg plastik kerana ia hanya mempunyai nilai guna semula yang sangat rendah berbanding bahan organik, besi dan kaca. Walaupun sesetengah tempat mengumpul beg plastik terpakai, hanya sedikit saja yang digunasemula.
Alternatif Kepada Beg Plastik
Terdapat berbagai alternatif yang murah dan mudah bagi menggantikan beg plastik. Beg kertas dan kain fabrik adalah biodegradasi. Ia mampu menyimpan sebanyak barang seperti yang beg plastik boleh lakukan.
Perniagaan dapat dijimatkan dengan penjimatan kos beg plastik apabila pengguna membawa beg mereka sendiri dan kurang menggunakan beg plastik.
Sokongan Dari Pemerintah
Kerajaan boleh memberi galakan dan insentif kepada kempen mengurangkan penggunaan plastik seperti berikut:
1. mengenakan cukai yang tinggi ke atas pengeluaran beg plastik maka pengguna perlu membayar untuk setiap beg plastik yang mereka mahukan setiap hari (bukan hari tertentu sahaja)
2. memberi pengecualian cukai atau diskaun ke atas pengeluaran beg fabrik sebagai alternatif kepada plastik
3. membuat kempen kesedaran alam sekitar secara meluas dan lebih berkesan di tv, di sekolah-sekolah, di tempat-tempat awam, di premis-premis kerajaan, tentang kesan buruk penggunaan beg plastik
4. tindakan drastik mengharamkan terus penggunaan beg plastik. Di Banglasdesh, penggunaan plastik diharamkan sejak didapati plastik adalah punca kepada banjir yang menenggelamkan 2 per 3 negara itu pada tahun 1988 dan 1998.
5. memperkenalkan undang-undang denda pembuangan bahan plastik di tempat-tempat sensitif seperti di pantai, sungai, jalanraya, atau menguatkuasakan undang-undang sedia ada
6. tidak mengeluarkan lesen pengilang pengeluaran beg plastik
Bagaimanapun, kaedah yang paling berkesan untuk mengurangkan pencemaran beg plastik ialah dengan mengurangkan keperluan terhadapnya. Sebagai pengguna, kita tidak seharusnya menunggu pihak kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap masalah ini. Perubahan bermula dari dalam diri setiap orang. Lebih-lebih lagi, sumbangan paling penting dan utama terhadap kempen menghapuskan pencemaran beg plastik terhadap alam sekitar bermula dari pengguna itu sendiri.
No comments:
Post a Comment